Halaman

BERSIH 2.0

BERSIH 2.0

Khamis, 16 Jun 2011

Hadith Akhir Zaman: 6. Golongan Anti Hadith

6. Golongan Anti Hadith

Hadis Akhir Zaman: Hadis 6
Hadis Akhir Zaman: Hadis 6
Ertinya:
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata, “Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, “Hampir tiba suatu masa seseorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka dia berkata,
“Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang di halalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan”.
Kemudian Nabi saw. melanjutkan sabdanya, “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah saw. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah swt.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Keterangan:
Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah seorang yang mengingkari kedudukan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas al-Quran. Dia hanya percaya kepada al-Quran sahaja.
Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar daripada ikatan Agama Islam.
Pada hakikatnya seseorang itu tidak akan dapat memahami al-Quran jika tidak merujuk kepada hadis Nabi saw. kerana al-Quran menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum.
Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi kandungan serta kehendak ayat-ayat al-Qur’an. Hadith juga memainkan peranannya dalam menghurai dan menjelaskan pelbagai kemusykilan yang timbul daripada ayat-ayat tersebut. Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna sekiranya seseorang itu hanya berpegang dengan al-Quran sahaja bahkan kita mestilah berpegang juga dengan hadis Nabi saw.
"Kitab hadis akhir zaman"




5. Umat Islam Mengikuti Jejak Langkah Yahudi Dan Nasrani

Peristiwa Akhir Zaman, Hadis 5
Hadis Akhir Zaman (5)
Ertinya:
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.”
Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi S.A.W menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”
Hadith riwayat Muslim.
Keterangan:
Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun gaya hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggakan dalam urusan yang kecil dan perkara yang tidak munasabah. Contohnya; seandainya orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka.
Pada masakini kita dapat menyaksikan sendiri kenyataan sabdaan Rasulullah S.A.W ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru ‘cara hidup’ Yahudi dan Nasrani sama ada secara sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani malah ramai pula di kalangan kita yang menjadi alat dan tali barut mereka.
Ya Allah, selamatkanlah kami daripada mereka!




4. Ilmu Agama Beransur-ansur Hilang

Kematian alim ulama
Hadith Akhir Zaman (4)
Ertinya:
Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As r.huma berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW. Bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama’.
Apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Jadilah mereka itu sesat lagi menyesatkan orang lain.”
(Hadith riwayat Muslim)
Keterangan:
Sekarang ini alim ulama’ sudah berkurangan. Seorang demi seorang pergi meninggalkan kita. Peribahasa Melayu ada mengatakan, ”Patah tumbuh, hilang berganti.” Malangnya ia tidak menepati senario yang terjadi kepada alim ulama’. Mereka patah tetapi payah tumbuh dan hilang sukar berganti.
Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong daripada ulama’. Oleh yang demikian, pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup yang dikehendaki Allah SWT.
Sebenarnya alim ulama’lah yang memberi makna dan erti kepada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Justeru apabila alim ulama’ telah pupus, lenyaplah segala sesuatu yang bernilai.
Pada akhir-akhir ini, kita telah menyaksikan gejala-gejala yang menunjukkan kian hampirnya zaman yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW itu. Bilangan alim ulama’ hanya tinggal sedikit. Tambah menyedihkan pula ialah usaha-usaha untuk melahirkan golongan pelapis pula tidak diberi perhatian yang sewajarnya.
Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang menarik khalayak cerdik pandai. Mereka lebih mengutamakan pengajian-pengajian dalam bidang pengurusan keduniaan yang bakal meraih laba harta benda dunia. Beginilah keadaan masyarakat kita hari ini. Marilah ini bersama memikirkan hal ini dan mencari solusinya.






3. Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam

Wahan
Hadis Akhir Zaman: Hadis 2
Ertinya:
Daripada Thauban رضي الله عـنه berkata, “Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.”
Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?”
Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. ”
Seorang sahabat bertanya: ”Apakah ’wahan’ itu hai Rasulullah?”
Baginda menjawab: ”Cinta dunia dan takut mati.”
(Hadith riwayat Abu Daud)
Keterangan:
Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran sabdaan
Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Walaupun bilangan umat Islam ramai iaitu kira-kira 1/5 jumlah penduduk dunia, mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain.
Mereka ditindas, diinjak ,disakiti, dibunuh dan sebagainya. Walaupun bangsa dari seluruh dunia berbeza-beza agama tetapi mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatan Islam.
Sebenarnya, segala kekalahan kaum muslimin adalah berpunca dari sikap orang Islam itu sendiri. Ianya demikian kerana Orang Islam mempunyai penyakit ’wahan’ iaitu penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua. Penyakit itu adalah ’cinta dunia’ dan ’takut mati’.
Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan.’Cinta dunia’ bermaksud tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah سبحانه وتعالى.
‘Takut mati’ pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tiada kemahuan untuk berkorban dengan diri dan jiwa serta harta dalam memperjuangkan agama Allah سبحانه وتعالى.
"Kitab hadis akhir zaman"







2. Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan?

Hadis Akhir Zaman: Hadis 2
Hadis Akhir Zaman: Hadis 2
*Sila klik gambar untuk melihatnya dengan lebih jelas
Ertinya:
Daripada Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy isteri Rasulullah صلى الله عليه وسلم, beliau berkata,
“(Pada suatu hari) Rasulullah صلى الله عليه وسلم masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab daripada kejahatan (mala petaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini.”
Baginda menemukan hujung ibu jari dengan hujung jari yang di sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan.
Saya (Zainab binti Jahsy) bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Ya, jikalau kejahatan terlalu banyak.”
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Keterangan:
Hadith di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat tersebut. Ia tidak menimpa hanya ke atas orang jahat sahaja, bahkan orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan.
Walau bagaimanapun pada hari kiamat kelak semua makhluk akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah mereka dilakukan semasa hidup di dunia.
Oleh kerana itu, segala macam kemungkaran dan kefasikan hendaklah segera dibasmi dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan. Tindakan ini adalah perlu agar tidak terjadi mala petaka yang bukan sahaja bakal menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, malahan juga semua orang yang berada di tempat itu.
Dalam hadith di atas, walaupun khusus disebutkan bangsa Arab, tetapi ianya adalah meliputi keseluruhan bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita صلى الله عليه وسلم sendiri adalah daripada kalangan mereka.
Selain daripada itu, kebanyakan penganut agama Islam pada zaman permulaan penyebarannya adalah terdiri daripada bangsa Arab dan hanya sedikit daripada bangsa yang lain. Begitu juga halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju mundurnya umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Bahasa rasmi agama Islam juga adalah Bahasa Arab.
Ya’juj dan Ma’juj pula adalah dua bangsa daripada keturunan Nabi Adam عليه السلام yang dahulunya banyak membuat kerosakan di muka bumi ini. Batas daerah kediaman mereka telah ditutup oleh Iskandar Zulkarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga. Oleh yang demikian mereka tidak dapat keluar sehinggalah hampir tiba hari kiamat.
Pada masa itu, dinding yang kuat tadi akan hancur lalu keluarlah kedua-dua bangsa tersebut dari kediaman mereka lantas membuat kerosakan di muka bumi ini kembali. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat sekali tiba saatnya……






1. Takwa Dan Perpaduan Asas Keselamatan Pada Akhir Zaman

Taqwa dan perpaduan asas keselamatan pada akhir zaman
Hadith Akhir Zaman: Hadith 1
Ertinya:
Daripada Abi Najih al-`Irbadh bin Sariah رضي الله عنه berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menasihati kami dengan suatu nasihat yang menggeletarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya.
Lalu kami berkata, “Ya Rasulullah صلى الله عليه وسلم, seolah-olahnya ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami.”
Baginda bersabda, “Aku mewasiatkan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat kepada pemimpin sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya di kalangan kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak.
Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ al-Rashidin al-Mahdiyyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar).
Gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Keterangan:
Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada umatnya. Terutamanya apabila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan, iaitulah seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh kerana itu, sesiapa yang mahu selamat, maka hendaklah dia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam hadis ini:
1. Hendaklah dia istiqamah bertakwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya.
2. Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba selagi mereka berpegang dengan al-Qur’an dan sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم dan sunnah-sunnah khulafa’ al-Rashidin. Patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada al-Qur’an dan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم.
3. Berpegang teguh kepada sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم dan sunnah para khulafa’ al-Rashidin al-Mahdiyyin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali رضي الله عنهم) kerana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah سبحانه وتعالى iaitu berpegang kepada fahaman dan amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan bertuah mendapat syurga pada hari kiamat nanti.
4. Menjauhi perkara-perkara bid’ah dholalah iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambahkan kepada Agama Islam yang sempurna ini, sedangkan tiada dalil atau asal dan contoh daripada agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bid’ah menurut pengertian syara’ (bukan bid’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid’ah menurut pengertian lughah atau bahasa sahaja (bid’ah hasanah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan