BACHOK – Selepas Sultan Muhammad V melancarkan Modul Generasi al-Quran Peringkat Negeri baru-baru ini, kini tiba giliran daerah Bachok untuk pelancaran modul itu, kelmarin di pekarangan kediaman Ketua Jajahan Bachok, Zulkifli Abdul Rahman yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Che Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perupuk, Datuk Omar Mohamad.
Pegawai Agama Jajahan Bachok, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, sempena program itu, setiap jabatan akan diberi senaskhah al-Quran untuk diaplikasikan dalam setiap majlis yang dilaksanakan.
“Pemberian naskhah al-Quran ini bagi menggalakkan pembacaan kitab suci itu sebelum memulakan setiap majlis sebagai contohnya ketika memulakan mesyuarat dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Mohd Fadzuli berkata, agihan al-Quran turut melibatkan kepada imam setiap masjid mukim iaitu 54 masjid mukim dan 37 ketua jabatan.
Menurutnya, dalam majlis yang sama juga diadakan forum agama yang bertajuk ‘Al-Quran dari siapa untuk siapa’ yang dibarisi panel tersohor iaitu Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Datuk Dr Johari Mat dan Pegawai Agama Jajahan Kota Bharu, Suratemi Yusoff.
Majlis turut dihadiri ADUN Perupuk, Datuk Omar Mohamad.
Sementara itu, melalui forum yang diadakan, salah seorang ahli panel, Suratemi berkata, penekanan perlu dilakukan oleh umat Islam terhad pembacaan al-Quran melalui enam peringkat.
Katanya, umat Islam perlu membaca al–Quran bersungguh–sungguh sehingga betul makhraj dan tajwidnya. Keduanya perlu membaca al-Quran sehingga faham. Ketiga membaca al-Quran sehingga berjaya menghafalnya. Keempat, membaca al-Quran sehingga boleh mengajar kepada orang lain.
Kelima membaca al-Quran sehingga berjaya memasyarakatkan al-Quran (tafsir amali) dan keenam ialah membaca al-Quran sehingga berjaya mendaulatkan kitab suci itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan