Bolos tujuh dari sepuluh gol keseluruhan dalam dua perlawanan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Khairul Fahmi Che Mat nyata menerima kritikan dari segelintir penyokong Malaysia.
Ramai pihak mahu ketua jurulatih Malaysia mengkaji balik tempat pemain ini dalam skuad Kebangsaan ketika pertemuan menentang Singapura nanti.
Biarpun semua gol tersebut bukan berpunca dari kesilapan Khairul Fahmi, para penyokong tetap secara terbuka melontarkan kata-kata nista kepadanya.
Jika dikaji balik video perlawanan menentang Arsenal dan Liverpool, kita tidak lihat kesilapan yang dilakukan penjaga gol utama skuad kebangsaan tersebut kerana hampir kesemua gol bolos berpunca dari kelemahan pemain pertahanan negara dimana Khairul Fahmi menjadi mangsa kerana dia berada di posisi tidak kena pada masanya.
Kebanyakan gol jaringan pasukan tersebut dilakukan dalam kawasan penalti dimana tiada seorang pemain Malaysia mencabar menyebabkan gol Malaysia bolos dan terus bolos dengan sangat mudah.
Tidak Khairul Fahmi seorang, seandainya Sharbinee, Nasril ataupun penjaga gol kelas dunia seperti Reina, Valdes dan Van Der Sar sekalipun, bola yang disepak lawan dalam posisi tidak dicabar mana-mana pemain bukan mudah untuk diselamatkan.
Tetapi, komen-komen dari bijak pandai serta para pengkritik tidak bertauliah tetap mempersalahkan penjaga gol yang terang-terang bakal merenggut semangat pemain muda ini dikala saingan maha penting akan dilalui tidak lama lagi.
Selaku peminat setia, kritikan wajar diberikan andai seseorang pemain benar-benar melakukan kesilapan yang membawa padah buruk kepada pasukan tetapi jelas penjaga gol dari Kelantan menerima kritikan ekoran kesilapan pemain pertahanan.
Kita harus sedar, lawan yang dihadapi berbeza amat dengan lawan dari pasukan negara Asean dan Asia Tengah kerana lawan dibarisi gabungan pemain berlaianan negara yang menerima gaji puluhan ribu serta ratusan ribu seminggu berbanding skuad kita hanya belas ribu.
Mengapa perlu disalahkan kepada pemain ini sedangkan barisan pertahanan yang melakukan kesilapan mudah membenarkan pasukan lawan menerjah kubu negara dengan senang lenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan